Guru di Era Harapan Malaysia


Menjadi seorang guru bukanlah semudah yang kita fikirkan. Benar, guru adalah kerjaya. Guru juga adalah amal jariah. Tetapi, perubahan gaya hidup individu dan komuniti, reformasi birokrasi dan kemajuan teknologi membuatkan cabaran keguruan pada zaman kini bertambah luar biasa.

Malaysia kini berada di zaman harapan, zaman yang menjanjikan pelbagai bentuk pembaharuan, baik dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Pendidikan di Malaysia turut tidak lari daripada pembaharuan. Selepas kejayaan Malaysia mengharungi arus kemajuan di bawah zaman transformasi, perjuangan Malaysia mengecapi kecemerlangan diteruskan di dalam zama harapan dengan cara-cara yang bersesuaian.

Pencegahan rasuah diberi keutamaan. Pengukuhan tatatertib dan keutuhan ditingkatkan di dalam semua jentera pemerintahan, baik pada sayap perundangan, pelaksanaan mahupun kehakiman. Perkhidmatan awam disusun semula agar selari dengan hasrat negara. Begitulah juga dengan pendidikan yang diberi naratif, strategi dan intervensi baru agar menepati kehendak semua pihak berkepentingan.

Dalam sebarang zaman, guru sentiasa berada di barisan hadapan menjadi segala-galanya yang terdaya, bersiap siaga menghadapi keadaan yang aman dan bahaya, serta memberikan yang terbaik untuk diri dan semua. Kehadirannya tidak semestinya bererti bagi masyarakat yang berada di sekitarnya, tetapi tugas dan tanggungjawabnya lebih besar berbanding negara dan rakyat yang menaunginya. Semua itu dipikulnya dengan sepenuh redha dan rela kerana cinta kepada Yang Maha Esa, untuk Malaysia yang tercinta.

Apa yang terlihat pada para pelajar dan ibu bapa mereka hanyalah pengajaran dan pemudahcaraan, penilaian dan peperiksaan, dan perundingan, baik di dalam mahupun di luar bilik darjah. Hakikatnya, tugas dan tanggungjawab guru tidak terbatas di situ sahaja. Sebahagian guru menjalankan tugas pentadbiran. Sebahagian yang lain pula menjalankan tugas penyelidikan dan inovasi. Sebahagian yang lain mengembara bersama-sama nama Malaysia atas nama hubungan antarabangsa.

Di luar perkhidmatan awam, ada dalam kalangan guru yang memimpin pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat di kawasan berkaitan. Ada yang menganggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, ada yang membarisi badan bukan kerajaan, ada yang menduduki jawatankuasa masjid dan surau, malah ada juga yang menjalankan perniagaan. Semua ini untuk menunjukkan bahawa guru merupakan seorang yang memiliki pelbagai minat dan bakat untuk membangunkan masyarakat di kawasan persekitaran.

Sesungguhnya segala ilmu, kemahiran, minat dan bakat yang ada pada guru bukanlah untuk dimanfaatkan hanya oleh tuan punya badan. Seseorang tidak akan memilih untuk menjadi guru jika hanya dirinya yang menjadi pilihan dan keutamaan. Kerana cinta kepada agama, bangsa dan tanah air, guru menyerahkan, malah mengorbankan segala-galanya kepada masyarakat di sekelilingnya, malah kepada negara dan dunia. Mereka tidaklah mengharapkan apa pun balasan; mereka hanya menginginkan dunia yang lebih makmur dan bahagia di masa muka.

Tema “Guru: Obor Hemah Menyinari Pertiwi” bertepatan dengan sifat-sifat guru pada masa kini. Guru bukanlah semata-mata orang yang memindahkan ilmu dan kemahiran kepada pelajar-pelajarnya, tetapi juga orang yang menggalakkan pelajar-pelajarnya menguasai minat dan bakat yang ada pada diri mereka, baik secara semulajadi mahupun secara pemindahan daripada orang lain. Guru bukanlah juga seseorang yang bekerja mendidik di dalam sekolah, tetapi juga menjadi teladan di luar sekolah sepanjang masa, malah menjadi waris kepada para nabi dan rasul Allah untuk terus menyampaikan risalah kebenaran kepada seluruh pelusuk dunia.

Kepada ibu bapa saya, guru-guru saya dan rakan-rakan sekerja saya di sekolah-sekolah lama mahupun di sekolah semasa, dan kepada semua guru di Malaysia, termasuklah kakak saya, Selamat Hari Guru. Terima kasih banyak-banyak atas jasa dan bakti yang dicurahkan kepada agama, bangsa dan negara.

Comments