Merenung Diri Sendiri


"Perjuangan belum selesai. Perjuangan mesti diteruskan. Perjuangan tetap akan diteruskan walau dengan cara sendiri, sampai nyawa terhenti."

(sempena ulangtahun kelahiran)

Terima kasih, Allah. Hari ini, saya menginjak ke usia baru dengan harapan agar warna-warni kehidupan akan menjadi serba baru. Meskipun begitu, memasuki usia baru pada hari ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Pertama, kerana semakin bertambah usia, semakin dekatlah dengan penghujung kehidupan.

Kedua, kerana saya cuba diyakinkan bahawa saya tidak akan kehilangan. Sayangnya, saya telah kehilangan segala-galanya selama ini. Saya bukan sahaja kehilangan wang ringgit dan tenaga, tetapi lebih daripada itu, sahabat-sahabat sejati serta pelajar-pelajar yang berjiwa murni.

Saya lebih merasainya apabila saya mengasihi seseorang yang akhirnya menolak saya ke tepi, mengajar seseorang yang akhirnya menjadikan segala yang diajarkan suatu tinggalan sejarah yang tidak bererti, menghadiahkan sesuatu kepada seseorang yang akhirnya jangankan menghargai, membalas pun tidak sudi. Lebih teruk daripada mengeji dan mencaci, ada pandangan tidak popular menyatakan saya tidak harus lagi hidup di dunia ini.

Saya bukanlah ahli politik walaupun saya meminati politik. Saya hanyalah orang kebanyakan seperti kalian. Saya masih seorang pelajar walaupun pernah mengajar. Saya masih seorang yang dipimpin walaupun pernah dipimpin. Tetapi, keadaan sekeliling mutakhir ini menjadikan saya seorang minoriti, tersisih dan tidak lestari dari semua segi.

Begitu pun, saya percaya bahawa saya tidak akan mengalaminya untuk selama-lamanya. Walaupun serba kekurangan, saya akan terus memperjuangkan segala yang terbaik untuk negara dan rakyat menerusi ruang dan peluang yang bersesuaian. Dalam erti kata yang lain, saya mesti berhijrah menjadi majoriti, dilibat sama dan lestari.

Hakikatnya, perjuangan belum selesai. Banyak lagi yang mesti dilakukan untuk kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi di era Malaysia baru. Tambahan pula, kepentingan negara dan rakyat sentiasa mengatasi diri sendiri dan apa jua yang diri ini miliki.

Perjuangan mesti diteruskan. Perjuangan akan diteruskan walau dengan cara sendiri, sampai nyawa terhenti. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah. Hidup dan mati saya hanyalah kerana Allah. Semoga Allah kekalkan rasa kehambaan diri ini. Semoga Allah izinkan diri ini untuk terus mengabdi kepada agama, bangsa dan negara.

Semoga Allah balas ibu bapa dan keluarga saya, pendidik-pendidik saya, sahabat-sahabat rapat saya, rakan-rakan sekerja dan sepengajian saya, dan semua yang pernah bersua, bermesra dan berteman dengan diri ini dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya yang tiada hadnya. Saya belum tentu terus hidup di sini tanpa mereka semua. Tanpa-Mu, aku tak mengerti, ya Allah.

Comments