Melunasi Janji-janji Kemerdekaan

Bulan Ogos dan September sentiasa simbolik kepada Malaysia dan rakyatnya. Apakan tidak, setiap 31 Ogos, Malaysia meraikan kemerdekaannya daripada penjajah. Setiap 16 September pula, kita memperingati Hari Malaysia, hari yang menyatukan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dalam sebuah negara persekutuan yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Begitu pun, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukanlah semata-mata untuk diraikan oleh negara dan rakyat dengan riang ria, tetapi untuk diisi dengan segala ingatan terhadap sejarah yang tercipta pada zaman dahulu. 446 tahun perjuangan mencapai kemerdekaan setelah kejatuhan Kesultanan Melaka ke tangan Portugis bukanlah suatu tempoh yang singkat. Betapa banyak darah dan air mata yang tertumpah, betapa banyak jugalah harta dan nyawa yang hilang kerana cinta kepada agama, nusa dan bangsa.

Mari kita ambil ruang dan peluang yang ada untuk berterima kasih kepada ayahbonda kita, nenek moyang kita, serta sesiapa pun yang selama ini telah berjuang untuk negara dan rakyat dengan cara mereka sendiri. Sama ada nama dan jasa mereka dicatat di lembaran sejarah negara ataupun tidak, pengorbanan dan keazaman mereka untuk mempertahankan tanah air dan membawa kemerdekaan ke dalamnya tetap kita sanjung tinggi.

Kemerdekaan, bagi Malaysia, adalah segala-galanya. Kemerdekaan yang negara dan rakyat nikmati, sampai ke saat ini, tidak setakat membolehkan kita untuk menuntut ilmu di sekolah, kolej dan universiti, tetapi juga untuk bekerja di jabatan kerajaan dan syarikat swasta atau berniaga barangan dan perkhidmatan. Kemerdekaan juga bukan sahaja membolehkan kita untuk memilih pasangan dan berkeluarga, tetapi juga untuk melibatkan diri dan orang sekeliling dalam membina, mengukuhkan serta memperbaiki kerangka politik, sosial dan ekonomi yang sudah tercipta sejak sekian lama.

Oleh hal yang demikian, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukanlah semata-mata hari perbarisan dan perhimpunan, tetapi untuk diperingati dengan merenung masa hadapan kita. Hakikatnya, kita dengan tahun 2020 semakin dekat. Belum pun kita sempat mencecah tahun 2020, negara sudah diperkenalkan pula dengan Transformasi Nasional 2050; bukanlah untuk kepentingan seseorang mahupun segolongan, tetapi untuk kecemerlangan kita semua.

Hakikatnya, negara dan rakyat tidak boleh kekal lama-lama di sesuatu kedudukan selesa sahaja. Negara dan rakyat mesti terus maju ke hadapan di pelbagai lapangan. Meski harus duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara sahabat di serata dunia, negara dan rakyat mesti pandai melonjak lebih tinggi dari biasa. Suatu hari nanti, ketika Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi, rakyatnya berminda kelas pertama, negara dan rakyat pasti dihormati kawan dan disegani lawan.

Mari kita mulakan dengan diri dan keluarga kita. Yang masih berada di bangku sekolah, kolej mahupun universiti mesti belajar bersungguh-sungguh. Rebut sebanyak mungkin ilmu, hikmah dan pengalaman yang berguna. Tanamkan diri dengan ajaran agama, semangat patriotisme, nilai murni serta budi bahasa. Yang berada di alam pekerjaan mesti terus bekerja dengan penuh iltizam dan dedikasi. Bantu organisasi dan negara mencipta keamanan dan kemajuan berterusan.

Kepada mereka yang berniaga, teruskan usaha mencari rezeki di tengah cabaran dan dugaan. Bantu negara dan rakyat mencipta kemakmuran melalui kestabilan harga barangan dan perkhidmatan, pertambahan peluang pekerjaan, serta peluang eksport ke negara-negara jiran. Kepada yang berada di kota mahupun di desa, teruskan semangat kejiranan dan kemasyarakatan. Jangan biarkan perpaduan dan integrasi rakyat berlalu begitu sahaja.

Pada ketika warna perpaduan dan integrasi sudah tidak bertempat, apakah lagi nilai yang tersimpan pada khazanah negara dan rakyat, walaupun perbendaharaan negara bernilai berbilang kali lipat dan sistem politik membolehkan semaksimum rakyat terlibat di pelbagai peringkat? Mari kita insafi apa-apa yang berlaku di negara-negara asing, termasuk negara-negara sahabat kita sendiri. Apabila kebencian menguasai, perpaduan menghilangkan diri, peperangan merajai, negara dan rakyat sudah hilang erti dan seri.

Kita harus sedar dari sekarang, kemerdekaan, walaupun boleh dirayakan dengan keriangan, dan walaupun diperingati dengan keinsafan, bukanlah soal yang boleh dipermainkan. Kemerdekaan, jika gagal dipertahankan dengan sekuat hati, akan pergi dengan sendirinya meninggalkan ibu pertiwi. Selagi hayat dikandung badan, mari kita sama-sama syukuri kemerdekaan yang sarat dengan segala pengertian.

Walaupun banyaklah dugaan dan halangan yang ditempuh negara dan rakyat, banyak jugalah hak dan kebebasan yang dapat kecapi, banyak jugalah kejayaan yang kita boleh capai untuk diri dan yang lain di pelbagai tempat dan ketika dan di pelbagai lapangan. Nasib kita lebih baik dari mereka yang berada di luar perbatasan kita. Oleh itu, marilah, dengan nasib kita yang baik, kita pertahankan negara dan rakyat dengan sekuat hati. Jikalau tidak dengan menghunus senjata, cukuplah dengan apa-apa jua wasilah yang setara. Hal ini demikian kerana, kemerdekaan sentiasa menjadi janji kita bersama untuk kita kotakan dengan cara kita.

Pada masa yang sama, marilah kita berterima kasih kepada Allah SWT. Dengan izin dan rahmat-Nya, Malaysia dan rakyatnya dikekalkan keamanan dan kemakmuran. Benarlah, inilah Malaysia kita. Di sinilah lahirnya sebuah cinta yang menyatukan kita semua walau apa pun yang menimpa kita. Tiada lain, selain segala puji dan syukur ke hadrat-Nya, melainkan doa: Semoga Allah kekalkan lembayung rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya ke atas Malaysia dan rakyatnya.

Comments