Perutusan sempena Hari Guru 2012
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين
وعلى أله وصحبه أجمعين
SMKAKK, 2010-2011 |
Pertama-tamanya, Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kita tujukan ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan kita untuk terus berbakti dan berkhidmat keranaNya. Selawat dan salam buat Guru Agung kita, Rasulullah SAW, kaum keluarganya dan para sahabatnya yang dimuliakan.
Selamat Hari Guru daripada saya dan keluarga buat semua guru di Malaysia, terutamanya guru-guru yang pernah mendidik saya dan yang saya kenali. Saya bersyukur kerana mempunyai guru-guru yang inovatif, berdedikasi dan bersemangat waja dalam menyampaikan ilmu dan iktibar kepada pelajar-pelajarnya termasuklah diri saya sendiri.
Tanpa guru, saya akan menjadi lebih buruk dan tidak akan dapat memperbaiki dan menambahbaik diri. Tanpa guru, saya tidak mungkin dapat menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran walaupun sedikit. Tanpa guru, mana mungkin akan ada yang berjaya sehingga tercapainya cita-cita yang sebenar. Tanpa guru, tidak wujudlah kelestarian kestabilan dalam kehidupan di tengah-tengah masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan fahaman. Justeru, saya beruntung kerana hidup berguru.
Guru-guru yang disanjungi,
Tahniah saya ucapkan kerana telah berjaya mengajar dan mendidik anak-anak harapan agama, bangsa dan negara untuk menjadi insan yang ihsan dan bermanfaat kepada diri dan semua dan seterusnya membawa anak-anak harapan ini terus maju sehinggalah sampai ke puncaknya. Kejayaan guru-guru hari ini adalah dengan izin Allah atas usaha murni guru-guru merealisasikan hasrat pendidikan dan keguruan selaras dengan Falsafah Pendidikan Guru.
![]() |
Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu 2010 |
Para ilmuwan yang budiman,
Syukur, Alhamdulillah. Islam mengangkat martabat guru ke maqam yang amat tinggi. Menurut penyair Arab, menjadi guru ini seakan-akan menjadi rasul. Frasa ini sahaja sudah membuktikan bahawa guru ini adalah orang yang banyak berkorban mengajarkan ilmu dan membimbingkan hikmah kepada murid-muridnya sehingga berjaya.
Selaras dengan frasa tersebut, seperti yang sedia maklum, Hari Guru diraikan di Malaysia pada setiap 16 Mei. Tema bagi Hari Guru 2012 iaiah Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara. Saya sedar bahawa pendidikan negara, InsyaAllah, semakin hari semakin meningkat kualitinya. Rentetan peningkatan kualiti pendidikan negara, maka semakin ramailah guru-guru yang wibawa menabur budi dan jasanya menyampaikan ilmu dan semakin ramailah pelajar-pelajar yang bitara hasil ilmu dan hikmah yang dipelajari dan dihayati. Lantaran itu, sempena Hari Guru 2012, saya dan semua berharap agar guru-guru tetap bersemangat mendidik dan membimbing putera puteri Malaysia dengan ilmu dan hikmah sesuai dengan situasi masa kini dan sesuai dengan peningkatan kualiti pendidikan negara.
Melihat kerjaya keguruan yang mendatangkan banyak faedah kepada diri dan sekeliling, maka tidak salah untuk saya katakan bahawa saya berhasrat untuk menjadi seorang pendidik di masa hadapan. Alhamdulillah. Saya beruntung kerana saya dididik dan dipandu oleh guru-guru yang dikasihi dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman keguruan. Saya tidak pernah menyangka bahawa ilmu-ilmu yang saya pelajari daripada guru-guru akan dimanfaatkan pula kepada berpuluh orang rakan pelajar yang masih memerlukan kefahaman yang mendalam tentang sesuatu ilmu. Terima kasih sekali lagi, guru-guru, kerana mendorong saya untuk meneruskan cita-cita asal sejak di zaman kanak-kanak, iaitu untuk menjadi seorang guru. Sekiranya Allah sampaikan hasrat ini, InsyaAllah, saya bangga menjadi guru.
Guru-guru yang dikasihi,
Kesungguhan guru, kerajinan pelajar dan kegigihan seluruh warga sekolah berserta kelimpahan kasih sayang dan restu Allah SWT ke atas sekolah memungkinkan kejayaan sekolah kita tercipta berterusan. Saya bersyukur, beruntung dan bertuah kerana dapat hidup di sekolah yang cemerlang sebagai seorang warga yang melengkapkan kejayaan dan menaikkan martabat kecemerlangan sekolah. Sempena Hari Guru, saya berharap dan berdoa agar sekolah dan seisi warganya terus direstui Allah SWT.
![]() |
SEMAI, 2007-2010 |
Selamat Hari Guru.
TERIMA KASIH, CIKGU
THANK YOU, TEACHER
شكرا جزيلا يا معلم
Wassalam.
Awang Abdul Muizz Awang Marusin
15 Mei 2012
Comments
Post a Comment