Ihtifal Anugerah Cemerlang SMKAKK 20/2012

Ihtifal Anugerah Cemerlang SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK) 20/2012 telah berlangsung pada hari Sabtu, 14 April 2012, di Dewan Ibnu Taimiyyah, SMKAKK. Majlis yang bermula sekitar jam 8.40 pagi itu dirasmikan oleh Canselor Tahunan, Puan Hjh. Nor Hayati Lebai Isa, Timbalan Pengarah Pelajaran (Pengurusan Pendidikan Islam), Kementerian Pelajaran Malaysia. Hadir dalam majlis termasuklah, Ustzh. Dayangku Siti Zainab Pengiran Tengah, Penolong Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Sabah; Ust. Arbaen Shawal, Penolong Pegawai Pelajaran (Pendidikan Islam) Daerah Kota Kinabalu; Tuan Hj. Samin Ongki, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKAKK dan Pn. Jaimis Saiman, Pengetua SMKAKK. Turut hadir, Pengasas SMKAKK, Tuan Hj. Haidon Hadi Sapiri, yang kini menjadi Pengetua di SMKA Tun Datu Mustapha, Papar.

Pengetua SMKAKK, Pn. Jaimis Saiman, dalam ucapan alu-aluannya, membentangkan laporan pencapaian tahunan SMKAKK 2011. Antaranya pengisiannya ialah, dari segi akademik, semua Gred Purata Sekolah (GPS) dalam semua peperiksaan awam yang diadakan di SMKAKK menunjukkan peningkatan, terutamanya GPS dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terbaik dalam tempoh 10 tahun (sejak tahun 2002). Separuh daripada 63 orang calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendapat sekurang-kurangnya 7A. Seorang calon PMR yang duduk di kelas terakhir Tingkatan 3, Tingkatan 3 Tarmizi, Rifhan Qistina Jupri, mendapat 9A sekaligus menafikan pendapat bahawa pelajar kelas terakhir tidak boleh cemerlang. Banyak matapelajaran dalam peperiksaan awam menunjukkan peningkatan prestasi. Sebanyak 42% daripada keseluruhan calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat kesemua 4 prinsipal.

Dari segi kokurikulum, SMKAKK berjaya menyertai dan mendapat tempat dalam pelbagai aktiviti sokongan akademik, kesukanan dan kepimpinan di pelbagai peringkat sehingga ke peringkat kebangsaan. Di samping itu, sekolah berjaya dicalonkan mewakili negeri Sabah untuk Anugerah Pengurusan Kokurikulum Sekolah Kementerian Pelajaran. Baru-baru ini, Guru Cemerlang, Ustazah Andi Kaswia Abdul Kadir, turut dicalonkan ke peringkat akhir Pertandingan Guru Inovasi Peringkat Kebangsaan 2012.

Sementara itu, Yang DiPertua PIBG SMKAKK, Tuan Hj. Samin Ongki, dalam ucapannya, memetik Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Abu Hurairah Abdul Rahman di Masjid Negeri Sabah, pada 13 April, agar bersyukur dengan segala nikmat dan bersabar dengan segala ujian yang melanda. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa Ihtifal Anugerah Cemerlang SMKAKK kerana berjaya melakukan persiapan majlis tanpa pemantauan penuh Pengetua yang baru sahaja menunaikan umrah. Beliau juga berharap agar semua yang cemerlang mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan menerima ijazah darinya. Dalam masa yang sama, beliau mengajak semua agar menghargai jasa ibu bapa dan guru-guru yang memungkinkan kejayaan ini. Mempertahankan kejayaan, menurutnya, jauh lebih sukar berbanding mencipta kejayaan.

Dalam majlis itu, beliau mengumumkan bahawa peruntukan PIBG sekitar RM 6 ribu telah diluluskan olehnya tanpa sebarang syarat untuk menjayakan Ihtifal Anugerah Cemerlang SMKAKK. Selain itu, PIBG juga telah meluluskan beberapa peruntukan tanpa perlu diperbahaskan dalam Mesyuarat PIBG untuk memberi kemudahan dan prasarana tambahan kepada sekolah.

Dalam ucapan perasmian, perasmi, Puan Hjh. Nor Hayati Lebai Isa, berkata bahawa hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk meraikan kejayaan. Beliau seterusnya berpesan agar lebih baik menjadi diri sendiri, walaupun tidak berguna kepada orang lain, sekurang-kurangnya tidak menyusahkan orang lain. Beliau juga berpesan agar berterbaran di muka bumi tanpa melupakan jasa orang lain yang mendorong ke arah kejayaan.

Sekitar 80 orang pelajar dan sekitar 20 orang guru menerima pengiktirafan dalam Ihtifal Anugerah Cemerlang kali ini. Anugerah Pelajar Terbaik Kemahiran al-Quran disandang oleh Mohd. Badri Shah Mohd. Bayu, Nurussyafiqah Mohd. Taif, Mohd. D' Safrani Mustafa dan Nurul Ain Juhaimin. Anugerah Khidmat Bakti pula disandang oleh Mohd. Nurul Hadi Yatau dan Aslinda Mohd. Asrul. Nur Qhairunnisa Jeperih pula terpilih menerima Anugerah Pelajar Mithali.

Comments