Perutusan sempena Akhir Tahun 2011 dan Tahun Baru 2012

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya, hayat kita kini dipanjangkan ke penghujung tahun 2011 dan ke tahun baru 2012. Saya doakan semoga anda semua terus dirahmati dan direstui Allah SWT. Terima kasih, Allah, atas penghayatan kami semua ini.


2011. Nampak dari segi materialiti dan aktiviti, tahun 2011 membuahkan keuntungan besar. Benar. Hal ini demikian kerana, tahun 2011 memungkinkan saya mencipta persahabatan yang lebih baru dan lebih luas, walaupun, saya masih memerlukan sahabat sebenar dari negeri Pahang dan Kelantan. 2011 juga merupakan tahun memperkasakan Bahasa Arab bagi sekolah saya. 2011 juga membuktikan peningkatan saya secara beransur-ansur dalam akademik dan kokurikulum. 2011 juga tahun menapak langkah baru dalam memajukan sastera Melayu di Sabah. Setelah 2 tahun berhubungan dengan Ikatan Penulis Sabah (IPS), akhirnya saya diterima masuk sebagai ahli IPS dan seterusnya membulatkan tekad bahawa sastera Melayu tak mungkin akan pernah pupus. Namun begitu, dalam hal yang demikian, saya dan pemuda IPS yang lain masih memerlukan tunjuk ajar semua ahli IPS yang lebih senior untuk bersama memajukan dan melestarikan sastera di Sabah mulai saat ini dan hingga tahun demi tahun nanti.

Tetapi, dari segi keperibadian, tahun 2011 mungkin belum membuahkan keberhasilan yang efektif kerana ada persahabatan yang cuba dijalin, diputuskan oleh yang pernah menerimanya. Saya faham kalau sebabnya munasabah. Tetapi, tidak logik kalau persahabatan putus tanpa sebab-musabab yang dibenarkan oleh syarak.

2011 belum mampu membawa saya menanam akhlak yang terbaik. Tambahan pula, dari segi kepimpinan, saya belum mampu membawa pimpinan saya ke arah petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih baik, terutamanya dalam memimpin organisasi keilmuan dan kemasyarakatan. Bukan bererti apabila saya memimpin, semua mesti ikut saya. Saya bukan berkehendakan begitu. Kata sahabat, “Ikuti aku selagi aku mengikuti Allah, dan tinggalkan aku selagi aku meninggalkan Allah.” Saya mengaku.

Yang penting, saya sudah buat yang terbaik untuk diri saya di tahun 2011 ini. Fahamilah diri sendiri, manusia mana mungkin pernah lari dari kesalahan dan kesilapan. Akan tetapi, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik orang yang pernah silap dan pernah bersalah adalah orang-orang yang bertaubat atas salah dan silapnya.” Mutiara kata ada menyebut, “Tiada insan baik yang tidak ada kenodaan di masa lampau, dan tiada insan yang jahat yang tidak mempunyai masa muka yang lebih baik.” Hijrah sendiri memberi iktibar sedemikian. Oleh itu, sabda Rasulullah SAW lagi, “Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi adanya hijrah dalam niat.” Setiap tahun baru Hijrah mendidik dan mengingatkan kita agar menjadi lebih baik. Maka, sudah tentu, kita akan merancang bidang keberhasilan utama (KRA) ke arah kemajuan dan mungkin akan meneruskan KRA ke arah KPI yang lebih gemilang.

Saya yakin setiap orang mempunyai KRAnya yang tersendiri, bersama KPInya. Mungkin masih ramai kurang faham tentang KRA dan KPI. KRA adalah misi kita, manakala KPI adalah visi kita; dan saya percaya bahawa barangkali setiap tahun, seseorang atau sesebuah organisasi pasti membulatkan KRA dan KPI baru. Tetapi, tidak kurangnya jua ada yang mengekalkan KRA dan KPI. Namun begitu, bukanlah kewajipan kita mengenai KRA dan KPI itu. Memang, setiap orang perlu ada wawasan dan cara wawasan itu dapat direalisasikan – visi dan misi. Namun, apa kata, cuba fikir, kita tahu merencanakan KRA dan KPI. Namun, kita kurang tahu cara mengurusnya, cara mengkaji dan mengimbau semula KPI dalam sesuatu KRA. Andainya hajat tahun 2011 belum tercapai, redha sahajalah atau teruskan berusaha dan berdoa agar tercapai hajat yang direncana di tahun 2011.

“Jangan putus asa dari rahmat Allah.”
(Surah az-Zumar, ayat 53)

Ataupun cuba utamakan fikrah kita tentang hijrah kerana hijrah sudah semestinya menuntut untuk memperbaiki diri dan sesuatu perkara dari yang kurang baik kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang lebih baik.

Kepada yang masa lalunya terhias buruk dengan noda dan dosa, selagi hayat dikandung badan, pintu taubat masih berada luas di hadapan. Bertaubatlah, wahai diri dan semua, kerana sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Saya tegaskan di sini, jangan putus asa dari rahmat Allah! Rahmat Allah itu masih luas. Jangan risau atas kesalahan dan kesilapan masa lampau. Sejarah mengajar kita menjadi lebih matang dan dewasa. Kata George Santayana, “Sesiapa yang tidak mempelajari sejarah, pasti dia akan mengulanginya.” Suatu peringatan – gunakan sejarah untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.

Kepada yang kaya dengan pahala dan amal kebaikan, teruskan. Jangan pernah putus dari beristiqamah dengan kebaikan. Siapa yang dapat menyangka bahawa amalan yang sedikit tetapi banyak beristiqamah membuatkan ganjaran kita berganda, digandakan pahala oleh Allah SWT; dan mana tahu kalau-kalau kebaikan kita yang diketahui akan dihargai dan diteladani oleh orang lain? Perkara itu paling penting untuk diingati; hatta kalau menyampaikan satu tazkirah pendek pun, kalau tiada siapa yang menghargai, cukuplah Allah menghargai. Tetapi, kalau yang di sekeliling kita menghargai dan mengamalkannya, lebih baik, kerana sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang menyampaikan sesuatu yang baik, maka pahala adalah untuknya dan orang yang mengamalkannya.” Tetapi, suatu perkara perlu diambil perhatian, ilmu tanpa amal bak pohon tak berbuah. Ilmu yang disampaikan tetapi tidak diamalkan, maknanya sia-sia.

Akhirnya, satu ibrah perlu diketahui – Masa yang gemilang, catatkan terus dalam lembaran sejarah yang terbilang. Pasti saat itu dikenang. Masa yang terlalu hina, koyakkan terus dari halaman sirah supaya tidak dikenang ataupun simpan di kitab yang berasingan agar kita ingat diri kita yang sebenar.

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa?

(Kehidupan, In Team dan Nazrey Johani)

Di tahun 2012, saya mengumumkan untuk menghadapi alam kehidupan yang serba baru dan saya cuba mensyukurinya. Saya meninggalkan 2011 dengan kenangan manis dan cemerlang dibuku dalam pengabadian sejarah; dan meninggalkan 2011 dengan kenangan pahit dan hina dibuku berasingan dalam ibrah dan pengajaran, sebahagiannya, dan sebahagian yang lain, saya koyakkan dan campakkan jauh-jauh, juga salinan-salinan semua memori di 2011 dititipkan di Luh Mahfuz sana. Setiap kitab sejarah pasti akan disyarahkan semula di Padang Mahsyar.

Untuk 2012, saya ingin terus maju setapak dalam seni sastera Melayu, dan dalam dakwah Islamiah. Sastera Melayu kini tanggungjawab saya kerana saya tidak mahu melihat perkara ini perlahan-lahan luput ditelan zaman, dan dakwah juga tanggungjawab saya seperti anda semua dan yang lain kerana saya sendiri telah dan akan terus mengambil iktibar bahawa dakwah hari ini mengajak orang lain sambil memperkuatkan diri serta mengingatkan dan menginsafkan semua tentang erti kehidupan yang sebenar. Akhirnya persahabatan itu abadi dengan restu Ilahi.

Untuk 2012 juga, 14 orang sahabat akan terus diabadikan sebagai sahabat sejati. Akan tetapi, tidak bermakna sahabat, teman ataupun rakan lain di serata Malaysia akan diketepikan terus. Hal ini demikian kerana, seorang manusia yang memimpin tidak boleh mengenepikan pimpinannya – prinsip saya. Seorang pemimpin hanya dianggap berjiwa rakyat apabila perasaan dan semangat orang lain dapat dijiwai bersama. Prinsip berjiwa rakyat dan satu untuk semua itu penting bukan setakat dalam kepimpinan, bahkan dalam bermasyarakat dan menjalankan perpaduan dan dakwah Islamiah.

Cukuplah 365 hari untuk 2011. Bersedialah untuk 366 hari 2012. Biarlah 2011 berlalu, kerana masa yang berlalu takkan kembali. Namun, masa yang berlalu mungkin ada yang akan berulang kembali di lembaran hari yang lain pula.

Kepada semua, terima kasih banyak-banyak kerana menerima saya, walaupun sebagai seorang manusia. Cukuplah, saya hanya seorang manusia, hamba Allah yang Maha Sejahtera, rakyat Malaysia yang merdeka. Saya mengaku sahabat saya tidak ramai, tetapi saya terus berharap dan sebenarnya merasa bahawa kehadiran mereka menghiasi hari-hari yang dititi amatlah dirasai. Saya memohon maaf atas semua salah dan silap saya sama ada sepanjang 1432 Hijrah yang lalu mahupun 2011 Masihi yang pergi. Saya mahu jadi insan yang lebih baik dan berguna bermula tahun 2012 ini.

Saya doakan semoga 2012 memberi inspirasi baru kepada anda semua untuk menjalankan kehidupan di hari-hari yang baru. Di kesempatan ini juga, saya doakan semoga kita terus dirahmati dan direstui Allah dengan kasih sayangNya seadanya.

Ya Allah, Maha Kuasa, padamu kami meminta
Perlindungan di tahun ini dari godaan syaitan durjana.
Ya Allah, Maha Kuasa, padamu kami meminta
Kebaikan di tahun ini berkekalan ke tahun depan.

(Bulan-bulan Islam, Alarm Me)

Akhirnya, di tahun mana pun kita, berserulah dan berdoalah kita semua dengan nada doa – Ya Allah, di tahun mana pun kami, di hayat kami, ampunkan kami dan maafkan kami selamanya. Ya Allah, jangan putuskan harapan kami. Ya Allah, di tahun mana pun kami, terimalah amal ibadah dan kebaikan kami. Akhirnya, Ya Allah, tetaplah Engkau yang Dahulu, Engkaulah yang Awal, Engkaulah yang Akhir, Engkaulah yang Abadi.

SELAMAT TINGGAL 2011, SELAMAT TAHUN BARU 2012.

Terima kasih, Allah.

Sekian, terima kasih dan Wassalam.

AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Kediaman Kakitangan Hospital Tuaran, Sabah.
31 Disember 2011, jam 6.26 petang.

Comments